Monday 6 August 2012

Penulisan Dakwah : Badar Al-Kubra , Janji Allah Itu Pasti

Bismillahirahmanirahim..

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang , yang mengurniakan kita dengan nikmat Iman , nikmat islam , nikmat kesihatan dan nikmat Ramadhan. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar baginda Nabi S.A.W dan keluarga serta para sahabat. Salam kepada para Alim Ulama' , ustaz-ustaz dan para sahabat-sahabat seperjuangan , seakidah dan saudara-saudara se-islam semuanya..  Alhamdulillah hari ini ana , dikurniakan sebuah ilham untuk menulis kembali blog Penulisan Dakwah ini. Ilham ini datang dari Allah S.W.T yang Maha Luas Ilmunya , nescaya jika ditulis dengan 7 lautan di dunia , masih tidak cukup maka kering kontanglah laut..


Segala isi Penulisan Dakwah ini jika baik maka ambillah dan kongsikan , jika ianya bertentangan dengan syariat Allah maka buangkannya sejauh-jauhnya. Segala kesilapan dan kekasaran sepanjang penyampaian diharapkan saudara-saudari memaafkan. 

Badar Al-Kubra , peperangan pertama umat islam merupakan penentu kepada penyebaran Islam. Usaha Nabi S.A.W dalam meyebarkan islam tidak tergendala di situ kerana pertologan dari Allah. Sungguh Janji Allah itu benar-benar belaka..



" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang beriman jiwa dan diri mereka dengan memberikan kamu syurga , mereka berjuang di jalan Allah maka ada yang membunuh dan terbunuh . Sebagai janji Allah di dalam kitab-kitab Taurat , Injil serta Al-Quran dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah ? Oleh itu , bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan dan ketahuilah jualan itu ialah kemenangan yang besar " (At -Taubah :111)



Abdullah Ibn Jahshin telah menyerang angkatan perdagangan kaum Quraisy pada bulan Rejab yang diharamkan berperang telah dianggap oleh kaum Quraisy sebagai cabaran hebat kepada mereka.  Kaum Quraisy merasakan kematian Al-Hadhrami ketika serangan itu seharusnya dibela. Rasulullah menyedari pihak Quraisy pasti akan menuntut bela.  Lantaran itu Baginda telah mempersiapkan angkatan untuk bertempur.



Bermulanya peristiwa bersejarah ini pada tahun kedua hijriah. Baginda S.A.W bersama 313 orang  tentera telah keluar dari Madinah untuk menyekat angkatan perdagangan kaum Quraisy yang pulang dari negeri Syria (Syam) dalam usaha mereka hendak menyekat persiapan tentera Quraisy Makkah untuk menyerang Madinah.

Abu Sufyan yang mengetuai angkatan perdagangan kaum Quraisy telah menyedari tindakan Rasulullah itu lalu beliau telah menghantar utusannya yang bernama Dham Dham bin Amr Al-Ghifari meminta bantuan dari Makkah. Makkah menjadi kecoh dengan berita ini. Ramai pembesar-pembesar Quraisy merasa marah dengan tindakan Muhammad.  Mereka lalu mengumpulkan orang untuk keluar membantu Abu Sufyan.  Tidak ada seorang lelaki pun yang ingin ketinggalan dalam peperangan ini.  Ada diantara mereka yang tidak ikut tetapi mengutus orang suruhan (Hamba) mereka untuk ikut serta.



Rasulullah telah menghantarkan sahabatnya untuk menyiasat tentang kekuatan musuh. Lalu dua orang sahabat dihantar dan menyiasat. Hasil dari penyiasatan itu , baginda S.A.W telah menganggarkan kekuatan musuh 900 hingga 1000 orang. Rasulullah pada waktu itu merasa bimbang setelah kejadian tenteranya bertempur dengan tentera Quraisy lalu tentera islam ada yang mengundur diri.  Nabi Muhammad S.A.W juga ingat bahwa asalnya mereka dari madinah adalah hendak mengejar unta-unta yang memuatkan perdagangan kaum Quraisy yang dilarikan oleh Abu Sufyan.

Nabi Muhammad S.A.W mengadakan musyawaratan bersama pahlawan-pahlawan tenteranya meminta pendapat mereka. Ketika itu Rasulullah amat merasa susah hati dan berubah wajahnya. Apabila Abu Bakar r.a melihat keadaan ini, lalu beliau berkata:

“Ya Rasulullah, kita bertempur dengan musuh!”.  Diikuti pula dengan Umar r.a.  

Kemudian seorang sahabat Miqdad Bin Al-Aswad lalu berdiri dan berkata :

“Ya Rasulullah, teruskanlah apa yang Allah telah perintahkan padamu! Maka kami serta bersamamu.  Demi Allah, kami tidak akan berkata kepada engkau seperti perkataan kaum Bani Israil kepada Nabi Musa pada zaman dahulu iaitu : " Pergilah engkau bersama Tuhanmu, maka berperanglah engkau berdua dan kami akan duduk termenung saja..!!."  Pergilah engkau bersama Tuhanmu! Dan berperanglah engkau bersama Tuhanmu.  kami sesungguhnya bersama engkau dan Tuhanmu.  kami ikut berperang.  Demi Allah, jikalau engkau berjalan dengan kami sampai kedesa Barkul Ghamad, nescaya kami berjuang bersamamu daripada yang lainnya.  Kami akan berperang dari sebelah kananmu dan di antara hadapanmu dan belakangmu."

Setelah itu, nabi S.A.W lalu bersabda pada seluruh tenteranya:


“Berjalanlah kamu dan bergembiralah kerana sesungguhnya Allah telah memberi janji. Demi Allah, sungguh aku seakan-akan sekarang ini melihat tempat kebinasaan kaum Quraisy.”

Ketika berhadapan dengan tentera musuh , tentera-tentera islam berdiri di dalam Saff yang kukuh.. 313 tentera membentuk seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh dan kuat berhadapan dengan 1000 orang Quraisy yang kucar-kacir. Sungguh itulah kekuatan umat islam seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam surah As-Saff :



"Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan agamaNya  dalam keadaan tersusun kukuh , mereka ibarat sebuah bagunan yang tersusun kukuh " (As-Saff : 4)


Pertempuran berlaku dengan begitu dasyat. Nisbah bagi tentera islam 1:3 melawan tentera quraisy. Rasulullah semakin bimbang , tetapi baginda terus-menerus berdoa kepada Allah S.W.T agar diberikan pertolongan. Baginda berbicara dengan Allah S.W.T yang maha Kuasa :



“ Ya Allah! Hamba memohon kepada Engkau akan janji dan perjanjian Engkau.  Ya Allah! Jika Engkau berkehendak (mengalahkan pada hamba), tidak akan Engkau disembah lagi.” 


Bilakah pertolongan Allah akan datang ? Rasulullah S.A.W melihat keadaan perang , keadaan semakin menekan tentera islam untuk terus bertahan. Rasulullah S.A.W tidak henti-henti berdoa.

Tiba-tiba Rasulullah terasa sesuatu di dalam kepala.. Lantas terduduk dan seperti orang pengsan secara tiba-tiba buat seketika. Tubuhnya menggigil  dan terketar-ketar seperti orang dalam ketakutan. Beberapa seketika baginda kembali seperti biasa , dan bangun kembali lalu bersabda kepada Abu Bakar r.a:


" Gembiralah wahai Abu Bakar.  Telah datang pertolongan dari Allah kepadamu. Malaikat Jibril sampai memegang kendari kuda "


Rasulullah memberi semangat kepada tenteranya dengan bersabda bahawa jaminan tentera Islam yang turut serta diperang Badar dijamin masuk syurga.  Tentera Islam semakin berkobar-kobar semangatnya.

Melihat kepada keadaan perperangan itu tentera islam melihat tentera-tentera Quraisy tiba-tiba seolah-olah dipancung , dan rabah secara tiba-tiba tanpa ada orang yang memancungnya. badan tentera Quraisy rebah dan nyawa mereka melayang tanpa ada orang yang berlawan dengan mereka. Rasulullah S.A.W melihat bahawa itulah tentera Malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T yang turun dari langit ibarat hujan yang tiada henti. Allahuakbar !!

Tentera-tentera islam terus melaungkan " Esa ! , Esa ! Esa ! "  

Tentera-tentera Quraisy lari meninggalkan Badar selamatkan diri..

Tentera Islam Menjulang panji Islam. Kemenangan ini disambut dengan riang gembira oleh orang yang tidak mengikut peperangan, yaitu kaum perempuan, kanak-kanak dan beberapa orang lelaki yang diberi tugas mengawal Madinah dalam masa pemergian tentera Islam ke Badar itu.

Kisah perperangan Badar Al-Kubra menjadi iktibar kepada kita di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Puasa bukanlah alasan bagi kita untuk tidak menjalankan amanah serta taklifan yang telah diberi oleh Allah S.W.T. Bahkan , Ramadhan merupakan bulan kemenangan bagi umat islam. Banyak peristiwa yang boleh kita pelajari di dalam bulan Ramadhan selain Nuzul Quran dan Badar Al-Kubra.



Apa yang pasti Janji Allah dalam membantu tentera Islam ketika perperangan ditepati oleh-Nya. Allah S.W.T tidak akan memugkiri janjiNya..



"...Sebagai janji Allah di dalam kitab-kitab Taurat , Injil serta Al-Quran dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah ? .... " (At-Taubah : 111)


" Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam perperangan Badar , sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sikit bilangannya dan kurang alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah , supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). " (Ali-Imran : 123)


Hasmin Al-Amin
[Isnin , 15.10 pm , 6 Ogos 2012 (17 Ramadhan) ]

Monday 4 June 2012

Penulisan Dakwah : Anak Soleh


Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum warahmatullah

Segala puji bagi Allah , Dia yang mengilhamkan segala kebaikan dan Dia jugalah yang mengilhamkan kefasikkan. Maka beruntunglah sesiapa yang mensucikan kebaikkan dan rugilah siapa yang mengotorkannya. Selawat atas junjungan besar baginda S.A.W yang tidak putus-putus kasih dan sayangnya pada umat baginda. Para tuan guru , alim ulama' , imam-imam besar ,  sahabat-sahabat seperjuangan dan saudara seakidah , dengan rasa rendah diri ana minta saudara sekelian menegur segala salah dan silap sepanjang PENULISAN DAKWAH ini berjalan samaada dari segi pengisian mahupun ucapan-ucapan yang menyimpang. Jika isi PENULISAN DAKWAH ini berguna dan baik maka , kongsikanlah kepada orang lain , tetapi jika saudara mendapati pengisiannya tidak baik dan lagha , maka tegurlah ana dan nasihatkanlah.

" from zero to hero ".. bukan mudah hendak mengubah manusia.. bukan mudah hendak menyentuh hati mereka.. tetapi merekalah yang bakal mengubah dunia akan datang , penyambung kepada rantaian perjuangan Rasulullah S.A.W. Merekalah generasi yang akan mencorak dunia Islam selepas kita. Itulah ANAK SOLEH/SOLEHAH..

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :
Rasulullah s.a.w.bersabda :

" Apabila seseorang telah meninggal dunia putuslah segala amalannya kecuali tiga , sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan atau ANAK SOLEH yang mendoakannya "    
(HR Muslim)  

Baru-baru ini ana telah terlbat dalam menguruskan sebuah Kem Motivasi Anak Soleh yang diadakan di Madrasah Ibn Mas'ud , menyelami hati dan masalah adik-adik tidak pernah mudah sejak dari hari pertama hingga hari terakhir program berjalan. Tetapi hari demi hari adik-adik sedikit demi sedikit berubah hingga hari terakhir mampu mengalirkan air mata kerana rasa cinta pada Allah dan ibu ayah. Walaupun kita manusia tidak lari dari sikap ego dan sambong , tetapi jauh di dasar hati manusia , Allah meletakkan perasaan cinta padaNya itu tidak pernah hilang dari hambaNya. Walau jahat bagaimana pun kita perasaan itu tetap ada , hanya tidak ditimbulkan oleh kerana hati yang hitam dan gelap kerana maksiat telah menenggelamkan cahaya cinta kepada Allah itu.. Kasihnya Allah pada kita... Dia yang menciptakan kita.. Dia tahu segala yang baik dan buruk buat kita..


"..... boleh jadi kamu benci tentang sesuatu padahal ia baik bagi kamu , dan baleh jadi kamu suka sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah) , Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) , sedang kamu tidak mengetahuinya "
( Al-Baqarah : 216 )  
  
Namun , Apakah asas paling utama bagi seorang anak soleh??
sudah tentu perkara utama dalam segenap kehidupan mukmin , Iman dan aqidah yang mantap menjadi makanan tarbiyyah bagi seorang anak soleh. 

Aqidah merupakan tali kita dengan Allah S.W.t.. Tanpa tali ini , manusia akan hanyut dan terbiar tanpa arah tuju. Ibaratkan seekor lembu yang diikat tali dengan sebatang kayu. Lembu tersebut tidak akan berkeliaran dan merosakkan tanaman petani lain kerana terikat dengan kayu tersebut. Kayu yang diikat tali tersebutlah yang mengawal lembu tersebut bagi memastikan ianya tidak berkeliaran. Begitulah perumpamaannya dengan manusia , manusia harus menjaga tali dengan Allah. Jika mereka terlepas dari ikatan dengan Allah , hidup mereka akan hanyut dan terbiar tanpa tujuan hidup. Kehidupan menjadi lagha dan sia-sia. 

".... Sesungguhnya telah nyata kebenaran (islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu , sesiapa yang tidak percayakan taghrut , dan dia pula beriman kepada Allah , maka sesungguhnya dia telah berpegang teguh kepada simpulan (tali agama) yang teguh tidak akan putus dan (ingatlah) , Allah Maha Mendengar , lagi Maha Mengetahui "
(Al-Baqarah : 256)

Rajin beribadat berdoa kepada Allah dan mendoakan kedua ibu bapa merupakan unsur utama anak soleh. Manusia ibarat besi , apabila tidak digilap dengan minyak ianya akan berkarat , begitulah perumpamaannya dengan manusia. Manusia harus rajin beribadat kepada Allah. Ianya ibarat makanan rohani bagi manusia , jika tidak ada tarbiyyah rohani , manusia akan lalai dan semakin tidak menjaga hubungan dengan Allah. Lantas mengabaikan Nya. Mendoakan kedua ibu bapa adalah pekara yang tidak pernah dilupakan bagi anak soleh. Ini sahajalah cara kita membalas jasa kedua ibu bapa kita. Tidak mungkin kita dapat membalas jasa ibu yang membawa kandungan selama 9 bulan , berkongsi makan dan minum , tidur yang terganggu , berjaga tengah malam. Mana mungkin kita dapat membalas jasa ayah , dia menghantar ke sekolah , dia memberi pendidikan kepada kita , dia menjaga keselamatan kita. Apakah masih ada anak yang membuat ibu bapanya menitiskan air mata??? Istighfar wahai saudara..


Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :
” Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah ”
(HR Bukhari)

Menyeru orang lain menuju kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) merupakan ciri-ciri anak soleh yang akan menyambung perjuangn Rasulullah S.A.W. Mereka cintakan kebaikan dan bencinkan kemungkaran. Generasi inilah yang berhak memimpin sebuah institusi keluarga , masyarakat dan negara. 

" dan hendakalah ada di kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada (berdakwah) kebajikan , menyuruh berbuat ma'ruf dan serta mencegah kemungkaran  , dan merekalah orang-orang yang berjaya "
(Ali-Imran : 104)

Selain itu , anak soleh tidak sombong , sopan , dan menghormati orang lain. Sesungguhnya Allah sangat benci pada manusia yang sombong berjalan di atas bumiNya. Sebagai manusia yang kerdil lagi bertaraf hamba di sisi Allah , siapalah kita hendak menunjukkan kesombongan. Bersikap sopanlah apabila bertutur dengan manusia lain. Menghormati orang lain merupakan perkara asas bagi menjadi anak soleh. Jangan sesekali kita meninggikan suara kita kepada orang tua kita , malah hormati mereka adalah perkara yang utama dalam membentuk peribadi muslim sejati.

Selain itu bersabarlah dalam menghadapi kehidupan dan bencana yang datang. Beriman pada qodo' dan qadar itu rukun iman yang harus difahami dengan baik. dalam kedupan ini segala ujian itu tarbiyyah buat diri. Tidak ada seorang pun yang tidak diuji. Itulah tanda Allah sayang pada kita. Tidak semuanya indah , tidak semuanya seperti yang dirancang. Namun setiap ujian Allah itu Allah letakkan pada kemampuan kita.

" Sesungguhnya Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya (dibuat) olehnya , Setiap orang mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya ...... "(Al-Baqarah : 286)

Banyak lagi ciri-ciri anak soleh yang dapat disenaraikan. Sedikit ini sahajalah yang termampu ana kongsikan. Jika taip lebih banyak akan menjadi lebih panjanglah PENULISAN DAKWAH ini. Hadamkan apa yang termampu dahulu. Biar dapat sedikit , jangan tidak buat langsung. 

Wallahualam

Akhi Arasy Masod Pengerusi Madrasah Ibnu Mas'ud


Pembawakan Bro Fairuz begitu terkesan

Turut bersama Dr.Zulkifli Al-Bakri

Imam Muda Asyraf turut bersama di dalam kem motivasi anak soleh

Imam Muda Najdi

**Semoga air mata adik-adik menjadi saksi di hadapan Allah kelak...


Hasmin Al-Amin
(10.15am - 8 Jun 2012 - Friday)




Sunday 4 March 2012

Penulisan Dakwah : Air Mata SYRIA


Bismillahirahmanirahim..

Segala Puji Bagi Allah , Pemilik segala kerajaan , langit , bumi , kehidupan dan seluruh alam , selawat ke atas junjungan mulia manusia yang teragong lagi mulia di sisi Allah , kekasih Allah S.W.T , Nabi Muhammad (Rasulullah S.A.W). Salam kepada Para Pejuang Palestin , Para Mujahid Syria , Alim Ulama' , sahabat-sahabat seperjuangan baginda S.A.W dan Sahabat seperjuangan  , samaada yang mengenali atau tidak mengenali diri ini. Semoga kita semua di bawah kasih dan rahmat Allah S.W.T.

Apabila membaca kisahnya , melihat jihadnya , menonton videonya , tersentuh hati ini melihat saudara di sana dalam tangisan bermandikan darah , kanak-kanak di sana tidak lagi diambil kisah , dewasa dibunuh dan di perkosa , setiap hari bermandikan darah , Syahid di Jalan Allah. Pagi keluar mencari rezeki , menuntut ilmu , berjuang dan berjihad , Petang mereka pulang membawa Syahid. Bertitisanlah air mata saudara dan sahabat bangga melihat anak-anak dan suami Syahid di Jalan Allah.. Subhanallah...

Setelah melihat akan pengorbanan demi pengorbanan , rintihan demi rintihan , pembunuhan demi pembunuhan sudah lebih 10,000 ribu rakyat SYRIA menjadi korban angkara rejim BASYAR ASSAD. Jadi , ana dengan rasa simpati telah terpanggil untuk menulis PENULISAN DAKWAH yang seterusnya berkaitan dengan SYRIA. Syukur Alhamdulillah kerana tidak ada yang lain melainkan Allah S.W.T lah yang mengilhamkan tentang penulisan ini. Satu isu yang hangat diperkatakan , satu isu yang perlu kita ambil kisah dan satu isu yang sudah lama , tetapi akhbar dan media seolah-oleh baru meghebahkannya seminggu dua. SYRIA.........~
ingatlah Sabda Baginda Rasulullah S.A.W :


sabda Rasulullah S.A.W :
"perumpaan orang mukmin itu pada kecintaan mereka , kasih sayang mereka , dan kebaikan hati mereka adalah seperti sebatang tubuh ,  apabila ada bahagian anggota yang mengadu sakit , seluruh tubuh akan panas dan demam" 
(HR Muslim) 

dalam hadis ini Rasulullah S.A.W telah memberi tahu kita bahawa pentingnya kita untuk mengambil berat tentang saudara kita di SYRIA dan di PALESTIN.. Apakah yang terjadi pada mereka?? apakah sahabat-sahabat tahu??
Syria telah merdeka hampir 67 tahun. Setelah itu ianya diambil alih oleh rakyat SYRIA sendiri bernama Hafez Assad selama 32 tahun. Hafez Al-Assad merupakan puak SYIAH yang SESAT dan menyimpan hasrat yang buruk terhadap Muslim Sunni termasuk sahabat-sahabat baginda S.A.W. Bahkan mereka menolak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tindakah Hafez Assad membunuh rakyat islam dipertahankan oleh Iran sendiri , bahkan Hizbullah di Lubnan juga menyokong tindakan Hafez Assad. Hafez Assad telah membunuh hampir 46,000 rakyat. Hal ini telah menyebabkan rakyat SYRIA menjadi senyap dan takut untuk bersuara dalam politik.

Kini tampok pimpinan SYRIA di takhta oleh anak Hafez Assad iaitu BASYAR ASSAD laknatullah. Seorang pemimpin yang kejam lagi sesat. seorang SYIAH sesat. Kini Basyar assad laknatullah ini menyambung perjuangan kotor ayahnya , membunuh Muslim Sunni di SYRIA...

Setelah bertahun-tahun rakyat SYRIA senyap dan takut untuk bersuara , telah menyebabkan SYRIA dikawal oleh diktator. Punca kebangkitan rakyat SYRIA bermula apabila kanak-kanak seramai lingkungan 28 orang bermain-main dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka. Apa yang ditulis oleh kanak-kanak ini ialah "RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN" kerana kekejaman mereka. Lalu slogan ini telah tersebar di negara-negara Arab , telah menyebabkan rakyat SYRIA semakin  berani untuk bersuara. Tetapi kekejaman rejim ini sudah tiada kemanusiaan lagi , mereka menangkap kanak-kanak ini dan menyeksa mereka. Kuku di jari dan kaki mereka dicabut oleh rejim basyar assad ini. Penyeksaan terhadap kanak-kanak ini telah menyebabkan salah seorang kanak-kanak itu meninggal dunia. Keluarga kanak-kanak ini mebuat rayuan agar melepaskan kanak-kanak ini. Lebih teruk lagi respons rejim basyar assad ini berkata "jika engkau mahukan kanak-kanak ini , berikan kami wanita dan perempuan kamu , kami akan perkosa mereka dan kamu akan mendapat anak baru".. Astaghfirullah.. Semoga Allah S.W.T membalas perbuatan rejim basyar assad ini.

Seorang anak kecil bernama Marwah 'Adil Bahar telah menjadi korban kezaliman rejim Bashar yang tidak mempunyai sifat perikemanusiaan. Tetapi Marwah ‘Adil Bahar tiada pilihan lain kecuali mati mulia dengan pisau sembelihan tentera Bashar. 

sumber dari ARABIA.NET , Seorang anak kecil, Muhammad Dhiya’ yang ditembak oleh Rejim Bashar. Ayah Muhammad Dhiya’ menjerit-jerit supaya Rejim Bashar berhenti daripada menembak untuk menyelamatkan anaknya, namun permintaannya itu tidak dipedulikan hingga anaknya terbunuh dengan kejam. Tentera Syria membedil beberapa daerah di bandar Homs menyebabkan 50 orang terbunuh manakala 150 lagi cedera. Kebanyakan mangsa yang mati adalah orang awam. Homs sebelum ini menjadi pusat penentangan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.  Tentera Basyar Assad telah melakukan penyembelihan  secara beramai-ramai . Sumber  melaporkan bahawa penduduk yang ketakutan telah melarikan diri sehingga mereka tiba di satu sekatan pasukan keselamatan, mereka dibawa menaiki empat buah bas dengan alasan kononnya untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat. Anggota keselamatan terbabit telah menurunkan warga tua sebelum menyembelih kesemua pemuda-pemuda di dalam bas tersebut seramai 64 orang. Turut dilaporkan ialah kehilangan wanita-wanita yang dikatakan telah diculik dan dibawa ke destinasi yang tidak diketahui. Lebih menyayat hati, sumber melaporkan Hospital Kebangsaan di wilayah Homs menerima 47 mayat yang terdapat kesan disembelih pada leher mereka.

Bukan sahaja itu , bahkan rejim basyar assad ini cuba membedil sebuah masjid yang suci. Sebuah masjid yang menjadi makam sahabat Rasulullah S.A.W iaitu masjid Khalid Al-Walid , seorang panglima perang Islam yang hebat dan terkemuka. Khalid Al-Walid panglima yang tidak pernah tewas dalam perperangan.    100 kali perperangan , 100 kali juga kemenagan Khalid Al-Walid. Badannya penuh dengan parut saksi perperangan Khalid Al-Walid. Seorang panglima perang yang digeruni dan ditakuti oleh musuh islam. Hari ini siapakah pengganti Khalid Al-Walid?? , bukan sahaja rejim basyar assad dan rejim zionis berani memijak umat islam , bahkan menghina islam dan nabi kita. Beberapa insiden ketika rakyat Syria melarikan diri ke Lubnan, Hizbullah menghalang dan menembak mereka. Tentera Iran pula ditempatkan di bumbung-bumbung rumah sebagai penembak tepat. (Iran Syiah dan Hasbullah Syiah adalah dua puak yang tidak boleh dipercayai oleh umat Islam)

Keadaan semakin buruk apabila ULAMA' SYIAH di Iran , Ayatullah Ahmed Jannati memberitahu perjuangan mempertahankan rejim basyar assad di SYRIA mesti dipertahankan bagi memastikan SYRIA tidak jatuh ke tangan muslim sunni. Selang beberapa hari selepas itu lebih 10 buah bas yang sarat dengan tentera militia Al-Mahdi, pengikut pelampau Syiah di Iraq,Moqtada As-Sodr di sempadan Syria yang mula memasuki menuju ke Syria. 

Kenapa Rusia dan Cina menghalang usul untuk memberi tekanan kepada rejim Assad?. Sebenarnya mereka merupakan sekutu lama yang saling memberi sokongan terutamanya dalam kebijakkan faham sosialis dan komunis mereka (tidak sama tapi hampir serupa terutama dalam menzalimi rakyat). Di samping itu juga, Rusia adalah pembekal senjata paling banyak ke Syria.Hakikat sebenarnya rejim Assad ada mengadakan perhubungan sulit dengan rejim Israel. Secara zahirnya kita akan melihat Syria seolah-olah bertindak sebagai anti Israel. Tetapi puak syiah ini sebenarnya telah membuat perjanjian dengan israel berkaitan dengan Bukit Golan. Bukit Golan diserahkan kepada Israel tanpa sebab.

Wahai sahabat-sahabat , berdoalah kepada Allah S.W.T untuk menghantarkan bantuan kepada SYRIA dan PALESTIN. Berdoalah sahabat... berdoalah... berdoalah... Doa adalah senjata umat Islam. mereka saudara kita , sahabat kita...

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya :
"Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." 
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." 
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih) 

**Ana sarankan agar sahabat-sahabat banyakkan membaca mengenai Palestin dan Syria. Ianya tanggungjawab kita untuk membantu saudara kita.

Bantulah dengan doa... sekurang-kurangnya ada juga jawapan kita di akhirat kelak.. 
Semoga Allah memperkenankan Doa kita.
Ana minta sesiapa yang memasuki blog ini agar bersama membacakan doa ini , demi Palestin dan Syria serta negara Islam yang dijajah oleh musuh-musuh islam :

Doa Qunut Nazilah :


 Ya Allah,

Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka.
Ya Allah,
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka.
Goncangkan pendirian mereka
dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka.
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa
Wahai Tuhan Yang Penuh Raksasa
Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka.
Ya Allah
Ya Allah
Ya Allah
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,
kalahkan mereka
Kalahkan mereka
Kalahkan mereka
dan menangkan kami ke atas mereka.

-Hasmin Al-Amin
(Isnin , 5 Mac 2012 , 07.10AM)

Friday 20 January 2012

Penulisan Dakwah : Warkah Buat Sahabat

Assalamualaikum w.b.t.. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang , Selawat ke atas junjungan besar Muhammad Bin Abdullah serta keluarga baginda , para sahabat-sahabat serta amilin-amilin , para alim ulama' dan sahabat-sahabat seperjuangan... 

Setelah lama berehat terasa ingin menulis apabila Allah S.W.T telah mengurniakan ilham tentang "PENULISAN DAKWAH" ana ini. Diharapkan sahabat-sahabat dapat membaca dengan penuh ikhlas dan belapang dada dengan penulisan ini. Apa yang ingin diberitahu kepada sahabat-sahabat seandainya pengisian dari blog ini bertentangan dengan syara' islam maka sahabat-sahabat hendaklah menolak isi blog yang serba kekurangan ini. Seandainya ianya memberi pengisian yang baik maka kongsikanlah dengan sahabat-sahabat lain. Janganlah dilihat kepada siapa penulisnya tetapi lihatlah kepada pengisiannya.. 


Rasulullah s.a.w pernah memberitahu :

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang dia sendiri suka mendapatnya."                
(HR Bukhari & Muslim)

Sahabat.. itulah yang sering kita kaitkan dalam kehidupan berjemaah melalui ukhwah fillah terpupuk atas dasar mehnah dan tribulasi dan keimanan kepada Allah S.W.T. Apakah yang sahabat-sahabat faham tentang "erti sahabat"?? sahabat adalah orang yang paling dekat dengan kita dalam apa jua keadaan.. Di dalam perjuangan ini kita memerlukan sahabat kerana kita tidak boleh duduk bersendirian. Kita akan berasa lemah tanpa sahabat , bahkan syaitan itu sentiasa mengambil peluang bagi memesongkan kita dari tujuan sebenar. Rasulullah S.A.W menyuruh kita agar duduk di dalam Jemaah agar kita sentiasa saling ingat-mengingati dan tegur-menegur antara satu sama lain.

Sabda Rasulullah S.A.W :

"hendaklah kamu bersama-sama jemaah orang-orang islam dan imam-imam mereka"
(HR Bukhari & Muslim)

Namun hari ini sukar sekali bagi kita untuk mencari sahabat sejati , iaitu sahabat yang benar-benar memahami kita. Sahabat yang menasihati memang banyak , tetapi adakah memiliki sahabat yang banyak menasihati lebih baik atau sahabat yang memahami lebih baik??
Sahabat yang menasihati
Sahabat yang menasihati memang banyak kerana menasihat manusia ini memang mudah. Tapi adakah menasihati sudah cukup?? Hal ini kerana , sahabat yang menasihati hanya pandai berkata-kata tanpa mengetahui hal yang sebenar. Dia tidak faham akan masalah yang dialami oleh sahabatnya.
Ø  “ana nasihatkan enta….”
Ø  “Enta buat macam ni….”
Ø  “enta ni.. tu la.. lain kali….”
Berkata-kata memang senang , tapi adakah “sahabat yang menasihati” ini benar-benar faham tentang masalah sahabat kita ini?? Mungkin kita rasa kita kenal sangat dengan sahabat kita tetapi hakikatnya kita tidak tahu pun tentang masalahnya.
Sahabat Yang Memahami
Sahabat yang sukar untuk dicari adalah sahabat yang memahami. Sahabat inilah “ibarat permata di taburan kaca”. Tidak ramai dari kita hari ini benar-benar memahami sahabat mereka. Bahkan berlagak faham tentang dirinya. Kita mengkritik dan menghukum seseorang tanpa usul periksa. Itulah manusia , serba kekurangan. Sahabat yang memahami bukan sahaja mampu menasihat , bahkan :
Ø  Mampu untuk membantu
Ø  Prihatin dengan keadaan sahabat
Ø  Kasih kepada sahabatnya
Ø  Sentiasa berasa ingin membantu sahabat
Sahabat yang memahami adalah lebih baik berbanding sahabat yang hanya tahu memberi nasihat.
**Walaubagaimanapun wahai sahabat-sahabat sebagai manusia kita tidak sempurna lagi hina di sisi Allah. Maka terimalah sahabat kita seadanya. Tetapi janganlah kita sibuk hanya bijak berbicara tetapi salamilah hati dan fikiran sahabat kita agar kita fahami untuk menjadi sahabat yang memahami kepada sahabat kita.

sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah sahabat yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah orang yang terbaik terhadap jirannya ”    

(HR Al-Hakim)


“TEMAN YANG PALING BAIK ADALAH APABILA KAMU MELIHAT WAJAHNYA , KAMU TERINGATKAN ALLAH S.W.T , MENDENGAR KATA-KATANYA MENAMBAH ILMU AGAMA , MELIHAT GERAK-GERINYA TERINGATKAN MATI ”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya:

Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1 - Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

2 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya) .

3 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.

4 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

5 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Wahai sahabat-sahabat , sentiasalah kita berlapang dada dengan sahabat kita kerana itu tahap selemah-lemah ukhwah , dan jika kita berasa hati dengannya maka tanyalah diri kamu apakah erti persaudaraan islam yang disabdakan oleh Muhammad Bin Abdullah :

"seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lainya , ia tidak menzaliminya , tidak merendahkannya , tidak menyerahkannya (kepada musuh) dan tidak menghinanya"
(HR Muslim)

"sahabat-sahabat karib setengahnya menjadi musuh kepada setengah yang lain , kecuali mereka yang persahabatannya atas dasar taqwa (iman dan amal)"             
(Az-Zukhruf : 67)

kerana itulah jalan bagi membantu dirimu dan sahabatmu meraih nikmat syurga Allah. Dan biarlah persahabatan itu atas dasar iman dan taqwa agar ukhwahnya berkekalan sehingga ke alam seterusnya.

salam ukhwah ~


Hasmin Al-Amin
(Sabtu , 4.18am , 21 Januari 2012)